Site icon TechNave BM

Ryt Bank lancar Angpau digital RM88, lanjut faedah simpanan 4% p.a.

Ryt Bank yang merupakan bank pertama di dunia dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI) telah melancarkan siri aktiviti sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang memfokuskan kepada pemberian ganjaran Angpau digital. Ia bermula secara rasmi pada 12 Februari 2026 yang membolehkan pengguna meraih serta memberi ganjaran bernilai sehingga RM88 bagi setiap pendaftaran akaun yang berjaya.

Program ini direka untuk memberi manfaat kepada kedua-dua pihak iaitu pengirim dan penerima di mana kod rujukan boleh dikongsi secara berulang kali tanpa had sepanjang musim perayaan ini. Selain ganjaran tunai, bank tersebut turut memperkenalkan ciri baharu yang dinamakan “What’s my Huat” bagi memberikan ramalan nasib Tahun Kuda secara peribadi kepada pengguna.

Ciri ini dikuasakan oleh Ryt AI dan boleh diakses terus melalui fungsi sembang dalam aplikasi untuk menghasilkan kad perayaan interaktif yang boleh dikongsi. Bagi menyokong pengisian budaya, Ryt Bank juga melancarkan video muzik asli yang menampilkan kolaborasi artis tempatan Faiq Syazwan Kuhiri dan Dennis Koit Jun Leong dengan gabungan lirik bahasa Melayu serta bahasa Cina.

Dalam pengumuman yang sama, Ryt Bank mengesahkan pelanjutan tawaran faedah bonus simpanan sehingga 4% setahun (p.a.) sehingga akhir Jun 2026. Kadar faedah tersebut akan terus dibayar secara harian kepada pelanggan tanpa melibatkan sebarang tempoh penguncian (lock-in period) yang memberikan akses penuh kepada dana pada bila-bila masa.

Ryt Bank merupakan entiti perbankan digital hasil kerjasama antara YTL Group dan Sea Limited yang memfokuskan kepada integrasi teknologi AI dalam perkhidmatan kewangan tempatan. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat untuk menyertai kempen ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version