Terkini, Ryt Bank telah melancarkan sokongan rasmi bagi perkhidmatan Apple Pay yang membolehkan pemegang Kad Debit Visa Ryt Bank menambah kad fizikal atau maya mereka ke dalam Apple Wallet pada iPhone dan Apple Watch bagi tujuan pembayaran tanpa sentuh.
Pengenalan ini menjadikan Ryt Bank sebagai bank digital berlesen pertama di Malaysia yang menyokong perkhidmatan pembayaran Apple Pay. Sebelum ini, Ryt Bank telah memberikan sokongan bagi Google Wallet bermula Januari lalu. Pengguna boleh melakukan transaksi di mana-mana terminal kad tanpa sentuh yang menerima pembayaran Visa PayWave.
Proses penambahan kad boleh dilakukan terus melalui aplikasi Ryt Bank dengan memilih pilihan kad yang ingin ditambah ke Apple Wallet. Pengguna juga boleh menetapkan Kad Ryt Bank sebagai kad pembayaran utama untuk kemudahan transaksi harian.
Dalam perkembangan berasingan, Ryt Bank mengesahkan bahawa sistem Kenali Pelanggan Menerusi Elektronik (eKYC) mereka kini menyokong pendaftaran menggunakan MyKad generasi baharu. Kemaskini ini membolehkan pemegang MyKad baharu mendaftar dan membuka akaun Ryt Bank melalui aplikasi tanpa sebarang masalah pengecaman.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

