Penyelidik dari TU Wien bersama syarikat teknologi storan data Cerabyte berjaya mencipta kod QR paling kecil di dunia yang mencatat rekod baharu dalam Guinness World Records. Kod QR tersebut bersaiz hanya 1.98 mikrometer persegi, lebih kecil daripada kebanyakan bakteria.
Ia dibina menggunakan 29 × 29 modul dengan setiap piksel bersaiz kira-kira 49 nanometer iaitu sekitar satu persepuluh panjang gelombang cahaya. Kod ini diukir menggunakan teknik focused ion beam pada lapisan filem seramik nipis. Disebabkan skala yang terlalu kecil, kod QR tersebut tidak boleh dilihat dengan mikroskop optik dan hanya boleh dibaca menggunakan mikroskop elektron.
Menurut penyelidik, pencapaian ini bukan sekadar rekod dunia tetapi demonstrasi teknologi penyimpanan data baharu. Kaedah berasaskan bahan seramik ini berpotensi menawarkan storan jangka panjang yang stabil tanpa memerlukan tenaga atau penyejukan, berbeza dengan media magnetik dan elektronik konvensional yang biasanya mempunyai jangka hayat terhad.
Dengan kepadatan data yang sangat tinggi, teknologi tersebut secara teori membolehkan lebih 2TB data disimpan pada permukaan bersaiz A4 dan secara tidak langsung membuka potensi penggunaan dalam arkib digital jangka panjang dan penyimpanan maklumat generasi akan datang.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: TU Wein

