Site icon TechNave BM

Saintis UMS temui kulat baharu berbentuk tanduk pertama dunia di Sabah

Sekumpulan penyelidik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) mencipta sejarah apabila menemui spesies kulat baharu yang menyerupai bentuk tanduk di Danum Valley Conservation Area, Lahad Datu, baru-baru ini. Menurut sumber, spesies tersebut yang dinamakan Pleurocordyceps cornusynnemata disahkan sebagai penemuan pertama seumpamanya di dunia selepas diterbitkan dalam jurnal taksonomi antarabangsa Phytotaxa.

Penyelidik utama, Jaya Seelan Sathiya Seelan dari Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) UMS, memaklumkan kulat itu mempunyai struktur fizikal menyerupai tanduk, sekali gus membezakannya daripada 26 spesies lain dalam genus Pleurocordyceps yang sebelum ini direkodkan di China, Thailand dan Jepun.

Dalam kajian sama, pasukan penyelidik turut merekodkan dua lagi spesies iaitu Pleurocordyceps aurantiaca yang ditemui pada serangga Diptera serta Pleurocordyceps nipponica yang ditemui pada nimfa cicada dengan kedua-duanya merupakan rekod baharu di Malaysia.

Kajian berkenaan diketuai oleh Dr Jaya Seelan bersama dua pelajar pascasiswazah, Muhammad Shahbaz (PhD) dan Firdza Zulkarnain Mohadden (Sarjana) dengan kerjasama penyelidik dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Yap Jing Wei serta pelajar Jeremiah Sia Yiao Rong, selain penglibatan saintis komuniti Elyse Yang.

Spesimen kulat yang ditemui kini disimpan di pusat rujukan BORNEENSIS IBTP UMS sebagai bahan rujukan saintifik bagi tujuan penyelidikan dan dokumentasi pada masa hadapan. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version