Site icon TechNave BM

Samsung bakal melancarkan telefon Galaxy A terbaru pada 17 Mac 2022

Samsung telah mengumumkan tarikh untuk acara Galaxy Unpacked seterusnya iaitu pada hari Khamis, 17 Mac 2022 jam 10:00 malam waktu Malaysia. Dalam acara tersebut, syarikat Korea Selatan itu bakal melancarkan telefon pintar terbaru dalam siri Galaxy A.

Galaxy A merupakan antara siri telefon pintar kelas pertengahan yang sangat popular di seluruh dunia. Samsung tidak mengesahkan nama telefon yang akan dilancar, namun telefon yang dikhabarkan adalah Galaxy A73, Galaxy A53 dan Galaxy A33.

Dalam acara Galaxy Awesome Unpacked pada tahun lepas, Samsung telah melancarkan Galaxy A72, Galaxy A52 dan Galaxy A32. Oleh yang demikian, besar kemungkinan Samsung akan mengemas kini tiga telefon tersebut dalam acara pelancaran yang akan datang ini.

Tiada spesifikasi yang disahkan untuk telefon Galaxy A baharu ini. Galaxy A73 dikhabarkan bakal dilengkapi skrin 6.7 inci dan cipset Snapdragon 750G, manakala Galaxy A53 pula dikhabarkan bakal dilengkapi skrin 6.5 inci dengan cipset Exynos 1200.

Pelancaran tersebut boleh ditonton secara langsung di laman Facebook Samsung Malaysia. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan Galaxy A terbaru dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version