Site icon TechNave BM

Samsung bekerjasama dengan ARM dan AMD untuk bina cipset yang boleh menyaingi Snapdragon

Samsung kini sedang bekerjasama dengan syarikat semikonduktor ARM dan Advanced Micro Devices (AMD) untuk membina teras CPU khas dalam pemproses Exynos. Cip baru ini mungkin akan dibangunkan untuk siri telefon pintar flagship Samsung Galaxy S30 dan menjadikan Samsung pembina cipset Android terkemuka.

Memandangkan cipset flagship terkini daripada Samsung, Exynos 990, tidak mampu menyaingi prestasi Snapdragon 865 dan 865+ oleh Qualcomm, cipset Exynos seterusnya mungkin boleh mengatasi prestasi Snapdragon. Menurut sumber, Samsung akan bekerjasama dengan ARM untuk membina CPU dan dengan AMD untuk menambah baik GPU dalam cipset Exynos.

Samsung Electronics akan membina CPU baru berdasarkan teras Cortex-X khas yang mempunyai prestasi 30 peratus lebih baik berbanding Cortex-A77. AMD pula akan membantu Samsung menyelesaikan masalah haba berlebihan yang dijana oleh Mali GPU dalam cipset Exynos.

Memandangkan Huawei tidak mampu lagi menghasilkan cipset HiSilicon Kirin akibat sekatan ekonomi oleh Amerika Syarikat, saingan utama cipset Android kini hanya boleh dilihat pada Qualcomm dan Samsung Electronics sahaja. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Business Korea

Exit mobile version