Site icon TechNave BM

Samsung daftarkan tanda dagang untuk sensor kamera ISOCELL Vizion, mungkin untuk Galaxy S 2021

Telefon pintar flagship Samsung Galaxy S yang seterusnya mungkin akan dilengkapi sensor kamera baru. Terkini, Samsung telah memfailkan tanda dagang untuk sebuah sensor kamera bernama ISOCELL Vizion 3D dengan European Union Intellectual Property Office (EUPIO) yang mungkin akan dilengkapi dalam telefon akan datang.

Pemfailan tersebut didaftarkan pada 18 September lalu di bawah Class 9, iaitu kelas yang dikhaskan untuk sensor optikal ToF (time-of-flight) dalam telefon pintar, pemodelan 3D dan teknologi pengukuran. Ini menunjukkan bahawa ISOCELL Vizion mungkin adalah sensor kedalaman untuk Galaxy S seterusnya.

Walau bagaimanapun, media melaporkan sebelum ini bahawa Samsung mungkin tidak akan menyertakan sensor ToF dalam Galaxy S tahun depan dan akan menggantikannya dengan lensa telefoto kedua. Pendaftaran tanda dagang terbaru ini mungkin membuktikan sebaliknya dan sebuah sensor kedalaman mungkin masih terdapat dalam telefon flagship Samsung pada tahun depan.

Untuk makluman, Galaxy S20+ dan S20 Ultra dilengkapi sensor kedalaman DepthVision yang menggunakan teknologi ToF untuk menilai jarak dan ukuran. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Let’s Go Digital

Exit mobile version