Samsung dijangka melancarkan telefon pintar tri-lipat pertama mereka pada suku ketiga 2025, menurut laporan dari Korea Selatan. Ia bakal menjadi pesaing kepada HUAWEI Mate XT dan dilancarkan bersama Galaxy Z Fold 7 serta Galaxy Z Flip 7.
Telefon tri-lipat ini mempunyai skrin besar berukuran antara 9.9 hingga 10 inci apabila dibuka dan memberikan pengalaman seperti tablet dalam reka bentuk yang mudah dibawa. Lebih menarik, mekanisme lipatan uniknya direka untuk melindungi skrin apabila dilipat (ciri yang tiada pada HUAWEI Mate XT).
Walaupun inovatif, kebimbangan timbul mengenai berat dan saiznya. Samsung masih bergelut untuk mengekalkan reka bentuk nipis tanpa mengorbankan kapasiti bateri. Teknologi bateri silikon-karbon mungkin menjadi kunci tetapi tiada pengesahan setakat ini. Produksi dijangka bermula pada suku kedua 2025 dengan hanya 200,000 unit untuk fasa pertama.
Selain itu, Samsung turut memperkenalkan Galaxy Z Flip FE, versi mampu milik yang menjadikan empat model lipat akan dilancarkan pada 2025. Daripada segi prestasi, telefon ini dijangka menggunakan cip Exynos 2500 kecuali Z Flip FE yang akan dilengkapi dengan cip Exynos 2400e. Jika berminat, anda mungkin perlu mula bersedia kerana stok akan sangat terhad.
Beritahu kami di Facebook jika berminat dengan telefon pintar tri-lipat pertama daripada Samsung dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

