Site icon TechNave BM

Samsung dikhabarkan sedang menghasilkan ciri sensor kamera beralih, sama seperti iPhone 12 Pro Max

Sebelum ini, Samsung dikhabarkan akan bekerjasama dengan syarikat kamera Olympus untuk kamera telefon pintarnya. Kini, sumber terbaru menyatakan bahawa Samsung sedang menghasilkan teknologi penstabilan sensor beralih (sensor-shift stabilization) untuk kamera perantinya.

Teknologi ini telah diperkenalkan oleh iPhone 12 Pro Max pada tahun lalu. Ciri sensor kamera beralih ini bermakna sensor kamera akan bergerak untuk mengurangkan gegaran pada gambar dan video yang dihasilkan. Sensor kamera iPhone 12 Pro Max akan bergerak pada paksinya dengan bantuan dari magnet di bucunya.

Sensor kamera iPhone 12 Pro Max berbanding iPhone 12 Pro

Mengikut sumber, Samsung telah lama menguji telefon dengan teknologi sensor beralih ini. Ia dikhabarkan akan mula digunakan pada peranti Samsung tidak lama lagi (mungkin telefon siri S22).

Teknologi sensor beralih ini adalah berbeza dengan penstabilan imej optikal. Penstabilan imej optikal berfungsi apabila lensa kamera (bukannya sensor) digerakkan pada paksinya untuk mengurangkan gegaran.

Adakah menantikan ciri ini pada peranti Samsung? Berikan komen anda di Facebook kami dan terus kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber : Gizmochina

Exit mobile version