Site icon TechNave BM

Samsung Exynos W920 dilancar: Cipset 5nm pertama untuk peranti boleh pakai

Sehari sebelum acara pelancaran Galaxy Unpacked esok, Samsung telah memperkenalkan cipset baru untuk kegunaan peranti boleh pakai (wearables) iaitu Exynos W920. Samsung mengatakan ini adalah cipset 5nm pertama yang dikhaskan untuk peranti boleh pakai, membuatkannya setaraf dengan cipset telefon andalan pada waktu ini.

Exynos W920 dilengkapi dua teras Arm Cortex-A55 untuk meningkatkan prestasi CPU sebanyak 20 dan satu unit pemproses grafik Arm Mali-G68 untuk prestasi grafik sepuluh kali ganda lebih pantas berbanding cipset sebelumnya, dan membenarkan peranti boleh pakai untuk memaparkan antara muka (UI) dengan imej 3D dalam skrin beresolusi 960×540 (qHD).

Ia turut dilengkapi teras berkuasa rendah Cortex-M55 yang bertujuan untuk menjanakan paparan sentiasa hidup (always-on-display, AOD) dalam jam tangan pintar. Dengan teras ini, jam tangan tidak perlu bergantung kepada teras CPU utama untuk AOD yang mungkin akan menggunakan lebih banyak cas bateri.

Samsung mengatakan Exynos W920 bakal dilengkapkan dalam jam tangan Galaxy Watch seterusnya. Ini mungkin merujuk kepada siri Samsung Galaxy Watch4 yang akan dilancar bersama pelbagai peranti lain esok.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat untuk memiliki jam tangan Samsung dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Samsung

Exit mobile version