Site icon TechNave BM

Samsung Galaxy A04 dilancar di Malaysia: MediaTek P35, skrin 6.5″ dan bateri 5,000mAh bermula RM479

Samsung Malaysia hari ini mengumumkan pelancaran Samsung Galaxy A04. Peranti ini merupakan tawaran terbarunya dalam segmen telefon pintar mampu milik. Menampilkan paparan PLS LCD Infinity-V 6.5 inci, skrin ini mempunyai resolusi HD+ 720 x 1600 piksel.

Peranti ini dikuasakan oleh cipset MediaTek P35 yang dipasangkan dengan pilihan RAM 3GB atau 4GB RAM. Bagi pilihan storan, peranti ini ditawarkan sama ada dalam 32GB atau 64GB dan menyokong sehingga 1TB storan boleh dikembangkan melalui slot kad microSDnya.

Samsung mendakwa bahawa Galaxy A04 boleh bertahan sehingga dua hari dengan bateri berkapasiti 5,000mAhnya yang turut menyokong pengecasan pantas 15W. Selain itu, telefon pintar ini turut menampilkan dwi SIM, bunyi Dolby Atmos, bicu audio 3.5mm, USB-C dan didatangkan dalam 3 pilihan warna iaitu hitam, tembaga dan hijau.

Bahagian belakang peranti menempatkan persediaan dwi-kamera utama 50MP + 2MP kedalaman manakala bahagian hadapan mempunyai kamera swafoto 5MP. Di Malaysia, Galaxy A04 berharga RM479 untuk varian 3/32GB dan RM559 untuk varian 4/64GB. Ia kini boleh dibeli di kedai dalam talian Samsung.

Apakah pendapat anda tentang Galaxy A04? Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version