Site icon TechNave BM

Samsung Galaxy A13 & A23 dilancar di Malaysia: Telefon bajet dengan skrin 6.6″ 90Hz bermula RM799

Selepas melancarkan siri telefon pintar kelas pertengahan Samsung Galaxy A33, A53 dan A73 beberapa minggu lalu, kini Samsung Malaysia melancarkan dua lagi model baharu dalam siri Galaxy A iaitu Samsung Galaxy A13 dan Samsung Galaxy A23. Sebelum ini, ia telah pun dilancarkan untuk pasaran antarabangsa pada awal bulan ini.

Kedua-dua telefon menawarkan spesifikasi kelas permulaan dan boleh dihubungkan kepada rangkaian 4G LTE sahaja. Samsung Galaxy A23 menampilkan skrin TFT LCD berukuran 6.6 inci dengan takuk V-Cut di bahagian atas skrin, kadar segar semula 90Hz dan ia dibina dengan kaca Gorilla Glass 5.

Ia akan dilengkapi cipset Qualcomm Snapdragon 680, RAM 6GB, storan dalaman 128GB, bateri 5,000mAh dan pengimbas cap jari di bahagian sisi. Untuk kamera pula, ia terdiri daripada kamera utama 50MP, kamera ultra-lebar 5MP, sensor kedalaman 2MP, kamera makro 2MP dan kamera swafoto 8MP.

Samsung Galaxy A13 menampilkan spesifikasi yang serupa dengan Galaxy A23, namun cipsetnya berlainan iaitu cipset Exynos 860 manakala kadar segar semula skrinnya tidak ditawarkan dalam 90Hz. Selain itu, bonggol kamera Galaxy A13 pula nampak lebih nipis berbanding Galaxy A23.

Kedua-dua telefon ini mempunyai badan yang dibuat daripada plastik dan menawarkan ruang untuk kad memori microSD. Selain itu, kedua-dua telefon dilengkapi sistem operasi Android 12 dengan antara muka (UI) One UI 4.1 dan akan ditawarkan dalam warna biru, jingga, putih dan hitam.

Samsung Galaxy A23 akan dijual pada harga RM999 manakala Samsung Galaxy A13 akan dijual pada harga RM799.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan dua telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version