Site icon TechNave BM

Samsung Galaxy A31 dilancarkan, datang dengan kamera mirip S20

Walaupun dengan penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia, Samsung tetap melancarkan produk baru dengan Samsung Galaxy A31 semalam. Ini adalah peranti terbaru dalam siri Galaxy A, selepas pengumuman A41 sebelum ini.

Daripada belakang, A31 nampak seperti S20 kerana bonggol kameranya yang serupa dengan siri flagship itu. Empat kameranya terdiri daripada kamera utama 48MP, kamera ultra-lebar 8MP dengan pandangan seluas 123 darjah, sensor kedalaman 5MP dan kamera makro 5MP.

Manakala di bahagian hadapan pula ialah skrin Infinity-U Super AMOLED Full HD+ berukuran 6.4 inci. Di bahagian atas tengah skrin terdapat notch kecil yang dihuni oleh kamera selfie 20MP.

Daripada segi spesifikasi pula, ia dilengkapi cipset MediaTek Helio P65, Android 10, dwi-kad SIM, bicu audio 3.5mm, pengimbas cap jari, bateri 5,000mAh dan pengecasan pantas 15W. Untuk memori pula, ia akan didatangkan dalam dua pilihan iaitu 4GB + 64GB atau 6GB + 128GB.

Nampaknya beza A31 dengan A41 hanyalah pada kamera, kapasiti bateri dan juga saiz skrin. Setakat ini masih tidak diketahui tentang keberadaannya di Malaysia. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat untuk memiliki A31 ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Gizchina

Exit mobile version