Site icon TechNave BM

Samsung Galaxy A42 5G dilancar di Malaysia: Telefon 5G Samsung termurah berharga RM1,599

Nampaknya Samsung sudah pun mula memasarkan telefon kelas pertengahan dengan sokongan rangkaian 5G di Malaysia, walaupun rangkaian tersebut masih belum diperkenalkan secara meluas. Pelanggan kini boleh membeli Samsung Galaxy A42 5G yang berharga RM1,599, menjadikannya telefon 5G Samsung termurah setakat ini.

Telefon ini dilengkapi skrin Super AMOLED 6.6 inci namun resolusinya agak rendah iaitu HD+ atau 1600×720. Daripada segi spesifikasi dalaman, ia terdiri daripada cipset Snapdragon 750G, RAM 8GB, storan 128GB yang boleh dibesarkan sehingga 1TB dan bateri 5,000mAh yang menyokong pengecasan pantas 15W.

Kameranya juga agak standard untuk telefon kelas ini, dengan empat kamera yang terdiri daripada kamera utama 48MP, kamera ultra-lebar 8MP, kamera makro 5MP dan sensor kedalaman 5MP, manakala kamera swafoto pula ialah kamera 20MP yang terdapat dalam takuk (notch) titisan air di bahagian atas tengah skrin.

Samsung Galaxy A42 5G boleh dibeli di laman rasmi Samsung Malaysia dalam Shopee. Adakah anda berminat untuk membeli Galaxy A42 5G dalam masa terdekat? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version