Site icon TechNave BM

Samsung Galaxy A52 varian 4G mungkin dilengkapi Snapdragon 720G, bukan Exynos

Samsung Galaxy A51 ialah antara telefon pintar kelas pertengahan yang popular di seluruh dunia. Ia mungkin kerana penawaran spesifikasi yang selari dengan harga yang agak berpatutan dari sebuah jenama telefon pintar besar. Pengganti Galaxy A51, Samsung Galaxy A52 kini dilapor mungkin dilengkapi cipset Snapdragon 720G untuk varian 4G.

Melalui berita yang lalu, kami telah memaklumkan mengenai varian 5G Galaxy A52 yang bakal dijana cipset Snapdragon 750G. Laporan mengenai janaan Snapdragon 720G untuk varian 4G ini muncul melalui kemunculannya di penanda aras Geekbench. Selain cipset, kemunculan di Geekbench turut memperlihatkan RAM 8GB untuk Galaxy A52.

Sepintas lalu, sumber yang lepas telah menunjukkan rekaan awal Galaxy A52 bersama spesifikasinya. Dijangkakan, ia bakal dilengkapi skrin AMOLED 6.5 inci, kamera kuad dan bicu audio 3.5mm.

Semestinya, Samsung bakal menyediakan Samsung Galaxy A52 varian 4G untuk dipasarkan di beberapa negara tertentu termasuk Malaysia. Memandangkan masih tiada cip baharu Exynos untuk kelas pertengahan dan Geekbench turut memaparkan bahawa ia dijana cipset Qualcomm, maka selamat untuk kita menjangkakan Galaxy A52 bakal dilengkapi cipset Snapdragon.

Sumber gambar: VOICE

Kongsikan pandangan anda mengenai berita ini di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Gizchina

Exit mobile version