Site icon TechNave BM

Samsung Galaxy A52s muncul di Geekbench, hadir dengan cipset Snapdragon 778G

Pada bulan Mac lalu, Samsung telah melancarkan telefon pintar Galaxy A52 dan A52 5G yang menggunakan cipset Snapdragon 720G dan 750G. Kini, sebuah peranti baru Samsung dengan nombor model SM-A528B telah dikesan di Geekbench dan ianya dilihat hadir dengan cipset yang lebih berkuasa.

Telefon pintar SM-A528B berkemungkinan besar merujuk kepada Samsung Galaxy A52s dan ia menggunakan cipset Snapdragon 778G. Penyenaraian Geekbench juga menunjukkan bahawa peranti ini menggunakan cipset ‘Lahaina’, nama kod untuk Snapdragon 888. Namun begitu, ia tidak benar kerana markah yang dihasilkan adalah serupa dengan peranti HONOR 50 yang menggunakan cipset Snapdragon 778G.

Cipset Snapdragon 778G adalah cipset bersaiz 6 nm dan hadir dengan teras CPU Cortex-A78 dan GPU Adreno 642L. Cipset ini juga mempunyai modem 5G sepantas 3.3Gbps dan menyokong Wi-Fi 6E dan Bluetooth 5.2.

Selain cipset tersebut, telefon pintar SM-A528B juga dilihat hadir dengan RAM 8GB serta perisian Android 11. Pada masa yang sama, sumber dalam talian juga memberitahu bahawa Galaxy A52s akan hadir dengan tiga pilihan warna iaitu hitam, putih dan hijau cair. Seperti model ‘s’ sebelum ini, ia juga akan mempunyai spesifikasi kamera yang lebih baik.

Samsung bakal mengadakan acara pelancaran pada 11 Ogos ini. Namun begitu, peranti Galaxy A52s dijangka akan diperkenalkan selepas acara tersebut.

Nantikan berita lanjut mengenai peranti ini di Facebook kami dan terus kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version