Site icon TechNave BM

Samsung Galaxy A53 5G dapat pengiktirafan 3C, diberikan bersama pengecas 15W sahaja

Siri telefon pintar kelas pertengahan Samsung Galaxy A5- sering mendapat sambutan yang tinggi di kalangan pengguna pada setiap tahun, termasuklah Galaxy A52 yang diperkenalkan pada 2021. Kini maklumat awal untuk model tahun ini, Samsung Galaxy A53 5G, telah pun tertiris melalui pengiktirafan dari China.

Menurut maklumat daripada 3C (Compulsory Certification of China), telefon Galaxy A53 dengan nombor model SM-A5360 bakal dipasarkan bersama pengecas 15W di dalam kotak. Ini adalah sama dengan Galaxy A52 dan Galaxy 51 sebelum ini yang turut disertakan bersama pengecas 15W.

Ini mungkin akan mengecewakan peminat Samsung kerana kebanyakan telefon daripada jenama lain yang dijual pada harga serupa telah menawarkan pengecas dengan kadar pengecasan yang jauh lebih pantas seperti realme, Xiaomi, OPPO dan vivo.

Setakat ini masih tidak diketahui jika Galaxy A53 akan menyokong kadar pengecasan yang lebih pantas daripada 15W. Galaxy A52 sebelum ini menyokong kadar 25W namun pengguna perlu membeli pengecas pihak ketiga yang mampu menyediakan kadar pengecasan tersebut.

Selain itu, Galaxy A53 dikhabarkan bakal dilengkapi cipset Exynos 1200, RAM 6GB, sistem operasi Android 12, skrin AMOLED Full HD+ 120Hz, pengimbas cap jari dalam skrin serta empat kamera di belakang.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan Galaxy A53 dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: MySmartPrice

Exit mobile version