Site icon TechNave BM

Samsung Galaxy A73, A53 dan A33 dilancar di Malaysia: Telefon kelas pertengahan bermula RM1,499

Pada hari ini, Samsung Malaysia telah melancarkan tiga model terbaru dalam siri telefon pintar kelas pertengahan Galaxy A iaitu Samsung Galaxy A73, Samsung Galaxy A53 dan Samsung Galaxy A33. Ketiga-tiga telefon ini menampilkan spesifikasi kelas pertengahan dan harga mampu milik untuk para pelanggan yang ingin berjimat.

Satu ciri baharu yang terdapat pada Galaxy A tahun ini adalah fungsi RAM tambahan Dynamic RAM Expansion. Fungsi ini akan menggunakan sebahagian daripada storan dalaman untuk dijadikan RAM tambahan sebanyak 2GB, 4GB atau 6GB.

Ketiga-tiga model ini akan ditawarkan dalam lima pilihan warna iaitu hitam, putih, biru, oren dan mint. Ia akan turut dilengkapi skrin Super AMOLED pelbagai saiz yang dibina dengan kaca Gorilla Glass 5 manakala badannya mempunyai rating kalis air IP67.

Setiap telefon Galaxy A ini mempunyai empat kamera, dengan resolusi sensor yang pelbagai. Dalam pada itu, Galaxy A73 adalah telefon Galaxy A pertama yang mempunyai sensor kamera utama 108MP untuk kualiti imej yang lebih jelas. Kamera ketiga-tiga telefon ini turut menyokong fungsi penstabilan imej optikal (OIS) bagi menghasilkan gambar dan video yang lebih stabil.

Daripada segi bateri, ketiga-tiga telefon ini bakal dilengkapi bateri berkapasiti 5,000mAh dengan pengecasan pantas 25W. Perlu diingati bahawa pengecas tidak akan disertakan dalam kotaknya.

Selain itu, Galaxy A pada tahun ini juga tidak mempunyai bicu audio 3.5mm. Untuk kemas kini Android, Samsung akan menyediakannya selama tiga tahun.

Berikut adalah spesifikasi penuh untuk semua siri Galaxy A ini:

Samsung Galaxy A33

Samsung Galaxy A53

Samsung Galaxy A73

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat untuk memiliki mana-mana peranti Galaxy A di atas dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version