Site icon TechNave BM

Samsung Galaxy A82 muncul dalam Geekbench, mungkin dilengkapi Snapdragon 855

Telefon pintar kelas pertengahan Samsung Galaxy A82 telah dikesan dalam perkhidmatan penanda aras Geekbench, di mana ia mungkin akan dilengkapi cipset Qualcomm 855 iaitu cipset andalan untuk 2019.

Telefon tersebut mempunyai nombor model SM-A826S dan papan induknya mempunyai nama “msmnile” iaitu kod nama untuk Snapdragon 855. Ini bakal menjadi contoh telefon Samsung terbaru yang menggunakan cipset lama, seperti Galaxy M62 yang menggunakan cipset Exynos 9825 iaitu cipset andalan untuk 2019.

Selain cipset, Geekbench turut menunjukkan RAM 6GB dan sistem operasi Android 11. Walaupun Snapdragon 855 tidak mempunyai sokongan 5G, Galaxy A82 dikatakan akan mempunyai modem 5G dalaman agar ia boleh menyokong rangkaian tersebut.

Galaxy A82 adalah sekuel kepada Galaxy A80 yang mempunyai mekanisme kamera sangat menarik, di mana kamera utamanya boleh diputar ke hadapan untuk dijadikan kamera swafoto. Di samping itu, cipset Snapdragon 855 juga adalah cipset yang masih relevan untuk beberapa tahun lagi.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Geekbench

Exit mobile version