Site icon TechNave BM

Samsung Galaxy A82 mungkin tampilkan rekaan telefon bergelongsor ke atas dan bawah

Rekaan telefon bergelongsor bukanlah sesuatu yang popular pada waktu ini, di mana telefon terakhir dengan mekanisme tersebut adalah OPPO Find X. Walau bagaimanapun, Samsung mungkin akan memperkenalkan semula mekanisme tersebut dengan Samsung Galaxy A82.

Berdasarkan imej yang dihasilkan oleh Lets Go Digital, Galaxy A82 mungkin mempunyai kebolehan untuk bergelongsor ke atas dan bawah, di mana dua fungsi yang berlainan akan muncul daripada arah gelongsor. Jika ia ditolak ke atas, ia akan menampakkan modul kamera manakala jika ia ditolak ke bawah pula, ia akan mendedahkan pembesar suara yang mungkin akan ditala (tuned) oleh AKG.

Rekaan ini dibuat berdasarkan paten Samsung yang telah diluluskan oleh Pejabat Hak Intelek Sedunia (WIPO) pada 28 Januari 2021. Paten yang bernama “peranti elektronik termasuk dua bahagian yang boleh bergelongsor dalam dua arah” (“electronic device including front plate slidable in both directions”) itu menghuraikan telefon bergelongsor yang menunjukkan dua komponen berlainan di bahagian atas dan bawah telefon.

Ini agak berlainan dengan laporan sebelum ini yang menyatakan Galaxy A82 mungkin mempunyai modul kamera yang boleh diputar 180 darjah seperti Galaxy A80. Dalam laporan tersebut, Galaxy A82 mempunyai mekanisme bergelongsor namun ia hanya dalam satu arah sahaja.

Telefon ini mungkin akan dilancar pada tahun ini namun kewujudannya masih belum disahkan oleh Samsung. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Let’s Go Digital

Exit mobile version