Site icon TechNave BM

Samsung Galaxy F15 5G dilancar: Bateri 6,000mAh, AMOLED 90Hz, Dimensity 6100+ bermula ~RM690

Samsung telah melancarkan telefon pintar kelas permulaan terbaru di India iaitu Samsung Galaxy F15 5G. Walaupun dijual pada harga yang sangat mampu milik, ia masih mempunyai beberapa spesifikasi yang menarik dan setaraf telefon yang lebih mahal.

Ia menampilkan kapasiti bateri 6,000mAh yang jauh lebih besar berbanding telefon lain pada kategori harga ini. Ia juga menyokong kadar pengecasan pantas 25W.

Pilihan warna yang ditawarkan termasuklah hitam Ash Black, ungu Groovy Violet atau hijau Jazzy Green. Ia mempunyai pengimbas cap jari di bahagian sisi dan bicu audio 3.5mm di bahagian bawah.

Skrinnya pula menggunakan panel sAMOLED berukuran 6.5 inci dengan resolusi Full HD+ untuk kualiti imej yang cantik sewaktu menonton video. Spesifikasi dalamannya pula terdiri daripada cipset MediaTek Dimensity 6100+, RAM 4GB atau 6GB (boleh dibesarkan secara virtual sehingga 12GB) dan storan dalaman 128GB.

Ia menggunakan sistem operasi Android 14 dan akan menerima kemas kini Android selama empat tahun serta kemas kini keselamatan selama lima tahun.

Di belakang, ia mempunyai kamera utama 50MP, kamera ultra-lebar 5MP dan sensor kedalaman 2MP manakala di hadapan pula terdapat kamera swafoto 13MP dalam takuk berbentuk titisan air.

Samsung Galaxy F15 5G akan dijual di India pada harga INR11,999 (~RM690) untuk varian 4GB+128GB dan setakat ini masih tiada maklumat mengenai keberadaannya di Malaysia.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Samsung India

Exit mobile version