Site icon TechNave BM

Samsung Galaxy M42 5G akan dilancar pada 28 April, bakal dilengkapi Snapdragon 750G

Telefon pintar kelas pertengahan Samsung Galaxy M42 5G bakal dilancar di India pada hari Rabu 28 April 12:00 tengah hari IST (2:30 petang waktu Malaysia), seperti yang tertera dalam laman web Amazon India. Laman tersebut turut menunjukkan rekaan luaran Galaxy M42 yang mempunyai warna empat tona dan empat lensa kamera.

Telefon itu disahkan akan dilengkapi pemproses Snapdragon 750G, membuatkannya telefon Galaxy M pertama yang dilengkapi sokongan rangkaian 5G. Berdasarkan maklumat yang telah dilaporkan sebelum ini, Galaxy M42 mungkin akan dilengkapi skrin Super AMOLED Full HD+ 6.6 inci, kamera utama 64MP, kamera swafoto 32MP, bateri 6,000mAh dan pengecasan pantas 15W.

Memandangkan pengimbas cap jari tidak kelihatan di bahagian belakang atau sisi, ia mungkin terdapat dalam skrin telefon tersebut. Samsung juga mengatakan Galaxy M42 akan dilengkapi sistem keselamatan Samsung Knox dan sistem pembayaran Samsung Pay.

Setakat ini masih tiada maklumat tentang keberadaannya di Malaysia, namun kita boleh jangkakan kehadirannya tidak lama selepas pelancaran di India seperti untuk Galaxy M62 sebelum ini. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan Galaxy M42 dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Amazon India

Exit mobile version