Samsung Malaysia hari ini melancarkan cincin pintarnya yang pertama iaitu Samsung Galaxy Ring yang padat dengan pelbagai fungsi kesihatan canggih. Dengan Galaxy AI, ia boleh disepadukan dengan aplikasi Samsung Health untuk menyediakan analisa dalam masa nyata (real-time) dan cadangan kesihatan yang peribadi untuk setiap pengguna.
Cincin ini mempunyai rangka titanium yang bergaya dan ditawarkan dalam pelbagai saiz, daripada saiz 5 hingga 15 untuk dimuatkan pada pelbagai saiz jari. Setiap Galaxy Ring akan didatangkan dengan bekas pengecas yang lutsinar dan menampilkan cahaya LED.
Daripada segi ketahanan, cincin ini kalis air sehingga 10ATM untuk memudahkan anda memakai jari ini sewaktu mandi atau bersukan. Baterinya pula boleh bertahan sehingga tujuh hari.
Untuk mengukur kesihatan pengguna, ia mempunyai tiga sensor yang boleh menjejak degupan jantung, suhu kulit dan gerakan jari. Semua sensor ini akan berfungsi dengan Galaxy AI untuk memberi analisa kesihatan lengkap seperti
- Energy Score: Mengukur tidur dan degupan jantung anda untuk menilai tahap kesegaran fizikal dan mental
- Wellness Tips: Memberi tips kesihatan berdasarkan tabiat harian
- Cycle Tracking: Menjejak kitaran haid wanita
- Penjejakan jalan kaki dan larian
- Sleep Insights: Mengukur kualiti tidur sepanjang malam
- Mindfulness Tracker: Membantu mengurus tahap stres
Berikut adalah spesifikasi penuh untuk cincin pintar ini:
- Ukuran 7.0×2.6mm
- Berat 2.3g hingga 3.3g, bergantung kepada siz
- Saiz 5 hingga 15
- Bateri 18-23.5mAh, boleh tahan sehingga tujuh hari
- Bekas pengecas dengan bateri 361mAh
- Kalis air 10ATM, IP68
- Sistem operasi Android
Samsung Galaxy Ring akan dijual di Malaysia pada harga RM2,099. Ia akan ditawarkan dalam tiga warna iaitu hitam Titanium Black, perak Titanium Silver dan emas Titanium Gold.
Untuk masa yang terhad sehingga 30 April 2025, Samsung Malaysia memberi peluang kepada pemilik-pemilik telefon Galaxy Z Series dan Galaxy S Series terpilih untuk membeli Galaxy Ring. Jika anda salah seorang daripada golongan ini, anda boleh dapatkan jemputan dalam aplikasi Samsung Members dan lawat kedai Samsung Experience Store untuk pembeliannya.
Pemilik siri Galaxy S20, S21, S22, S23, S24 dan S25, serta siri Galaxy Z Flip3, Flip4, Flip5, Flip6, Fold3, Fold4, Fold5 dan Fold6 boleh membeli Galaxy Ring dalam tempoh ini. Layari laman web Samsung Malaysia untuk maklumat lanjut.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan peranti ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

