Site icon TechNave BM

Samsung Galaxy S20 Fan Edition akan mempunyai sensor kamera yang sama dengan Galaxy S20

Sebuah varian Samsung Galaxy S20 yang bernama Galaxy S20 Fan Edition kini telah banyak dihebahkan, lebih-lebih lagi dengan tarikh Galaxy Unpacked yang semakin hampir. Galaxy S20 Fan Edition adalah varian S20 yang lebih rendah berbanding S20 asal dan mungkin adalah pengganti kepada Galaxy S10 Lite yang merupakan varian S10 terendah.

Menurut sumber di Twitter, Galaxy S20 Fan Edition akan dilengkapi sensor kamera Sony IMX555 untuk kamera utama, iaitu sensor sama yang terdapat dalam Galaxy S20 dan S20+. Sensor berukuran 1/1.76 inci ini mempunyai resolusi 12MP namun masih tidak pasti jika ia akan turut dilengkapi dengan teknologi penstabilan imej.

S20 Fan Edition akan dilengkapi tiga kamera di belakang yang terdiri daripada kamera utama 12MP, kamera ultra-lebar 12MP dan kamera telefoto 8MP yang boleh zum optikal sejauh 3x. Untuk selfie pula, ia adalah kamera hadapan 32MP. Ini berlainan dengan kamera S20 yang mempunyai kamera belakang 12MP+12MP+64MP dan kamera swafoto 10MP.

Daripada segi spesifikasi dalaman, S20 Fan Edition dijangkakan akan dilengkapi cipset Snapdragon 865, storan 128GB, bateri 4,500mAh dan pengecasan pantas 45W. Skrinnya pula adalah Super AMOLED 6.5 atau 6.7 inci dengan resolusi Full HD+ dan kadar segar semula 120Hz.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan varian S20 asas ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Gizchina

Exit mobile version