Site icon TechNave BM

Samsung Galaxy S21 mungkin akan dilengkapi lima kamera, cas pantas 65W, skrin 4K 120Hz

Walaupun kita baru sahaja melepasi pelancaran Samsung Galaxy S20 Fan Edition baru-baru ini, kini khabar awal tentang Samsung Galaxy S21 sudah pun muncul dalam internet. Terbaru, sebuah sumber mengatakan Galaxy S21 Ultra akan dilengkapi lima kamera dan pengecasan pantas 65W.

Menurutnya, lima kamera tersebut akan dilengkapi sensor ISOCELL Bright HM2 108MP untuk kamera utama. Telefon itu juga boleh merakan dalam resolusi 1080p pada kadar 240fps dan video 8K pada kadar 30fps. Buat masa ini, Galaxy S20 Ultra boleh merakam dalam 8K namun ia mempunyai had masa satu minit.

Daripada segi bateri pula, sumber mengatakan Galaxy S21 Ultra akan dilengkapi bateri 5,000mAh dengan sokongan pengecasan pantas 65W. Ini adalah lebih tinggi daripada pengecasan 45W yang terdapat pada Galaxy S20 Ultra.

Di samping itu, sumber turut mengatakan Galaxy S21 Ultra akan dilengkapi skrin yang boleh memberikan kadar segar semula 120Hz dalam resolusi 4K. Pada masa ini, Galaxy S20 Ultra sudah pun mempunyai kadar segar semula 120Hz namun hanyalah pada resolusi 1080p.

Perlu diingati bahawa ini bukanlah maklumat rasmi daripada Samsung. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Hindustan Times

Exit mobile version