Site icon TechNave BM

Samsung Galaxy S21 FE, Z Fold 3 dan Z Flip 3 mungkin akan dilancar pada bulan Ogos

Samsung mungkin akan melancarkan tiga lagi telefon pintar kelas andalan pada tahun ini iaitu Samsung Galaxy S21 Fan Edition (FE), Samsung Galaxy Z Fold 3 dan Samsung Galaxy Z Flip 3. Ketiga-tiga telefon ini dijangka untuk dilancar pada bulan Ogos dan menggantikan ketiadaan Galaxy Note pada tahun ini.

Menurut sumber, Samsung kini sudah pun berada dalam perbincangan bersama syarikat telekomunikasi Korea Selatan bagi mempromosikan tiga telefon andalan baharu itu bermula bulan Ogos.

Sebelum ini, sebuah garis masa untuk pelancaran produk Samsung telah pun tertiris di mana Galaxy S21 FE dijadualkan untuk pelancarannya pada 19 Ogos. Ini membuatkan Galaxy S21 FE dilancarkan lebih awal berbanding Galaxy S20 FE pada tahun lepas iaitu dalam bulan Oktober.

Telefon pintar lipat Galaxy Z Fold2 dan Galaxy Z Flip pula telah dilancar pada bulan September 2020. Menurut pakar industri telefon pintar, pelancaran Galaxy Z Fold 3 dan Galaxy Z Flip 3 yang lebih awal pada tahun ini mungkin bertujuan untuk mengisi kekosongan oleh Galaxy Note yang selalunya dilancar pada bulan Ogos dalam tahun-tahun sebelum ini.

Telefon lipat Samsung pada tahun ini juga dikhabarkan akan menyokong penggunaan stilus S Pen, satu fungsi yang sebelum ini unik kepada siri Galaxy Note. Samsung masih belum memberi sebarang kenyataan rasmi untuk kewujudan Galaxy Note pada tahun ini, namun pelbagai laporan media telah mengatakan bahawa ia mungkin akan ditamatkan bermula 2021.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan mana-mana telefon Samsung ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Yonhap

Exit mobile version