Site icon TechNave BM

Samsung Galaxy S21 FE mungkin akan ditangguh sehingga Oktober, tidak dijual di Malaysia

Telefon pintar andalan Samsung Galaxy S21 Fan Edition (FE) telah dikhabar untuk dilancarkan pada bulan Ogos bersama Samsung Galaxy Z Fold3 dan Galaxy Z Flip3. Walau bagaimanapun, media Korea Selatan melaporkan bahawa pelancaran tersebut mungkin terpaksa ditangguhkan kepada bulan Oktober.

Menurut Korean Financial News, penangguhan tersebut telah disebabkan oleh isu kekurangan semikonduktor yang menyukarkan Galaxy S21 FE untuk dilengkapi dengan cipset andalan Snapdragon 888. Penangguhan sehingga bulan Oktober itu sendiri masih belum dipastikan kerana isu bekalan dan permintaan untuk semikonduktor di seluruh dunia pada waktu ini adalah sangat tinggi.

Di samping itu, berikutan kekurangan isu semikonduktor ini, Galaxy S21 FE juga mungkin akan dikilangkan dalam jumlah yang lebih sedikit berbanding Galaxy S20 FE pada tahun lepas. Susulan daripada itu, ia hanya akan dipasarkan dalam pasaran Amerika Syarikat (AS) dan Eropah sahaja.

Adakah anda berminat untuk membeli Galaxy S21 FE pada lewat tahun ini? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: SamMobile

Exit mobile version