Site icon TechNave BM

Samsung Galaxy S22 mungkin akan dilancar pada 9 Februari 2022

Pada minggu lepas, Samsung telah pun mengesahkan bahawa sebuah acara pelancaran Galaxy Unpacked akan dianjurkan pada bulan Februari 2022 namun mereka masih tidak menyatakan tarikh spesifik. Walau bagaimanapun, tarikh untuk acara itu telah tertiris dalam internet melalui sebuah gambar tangkapan skrin (screenshot).

Menurut Gizmochina, Samsung Galaxy Unpacked akan dianjurkan pada hari Rabu, 9 Februari 2022 jam 10:00 pagi EST (11:00 malam waktu Malaysia).

Maklumat ini diperolehi daripada iklan Galaxy Unpacked 2022 dalam media sosial Instagram, di mana pengguna dijemput untuk melengkapkan sebuah borang pra-tempahan. Selepas melengkapkan borang tersebut, sebuah mesej akan terpapar yang menyatakan produk Samsung terbaru bakal dilancar pada 9 Februari 10:00 pagi EST.

Samsung dijangka akan melancarkan siri telefon pintar andalan Samsung Galaxy S22, Samsung Galaxy S22 Plus dan Samsung Galaxy S22 Ultra. Pada minggu lepas, presiden Samsung Electronics, TM Roh, mengatakan Samsung bakal melancarkan “the most noteworthy S Series device” dan ini mungkin menunjukkan bahawa Galaxy S22 bakal menjadi pengganti kepada siri Galaxy Note.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version