Site icon TechNave BM

Samsung Galaxy S23 FE dapat pengiktirafan Thailand, mungkin dilancar dalam masa terdekat

Pelbagai maklumat dan khabar telah disebarkan tentang telefon pintar Samsung Galaxy S23 Fan Edition (FE) yang dijangka akan dilancar pada hujung tahun ini. Kini, maklumat terbaru datang dari Thailand di mana telefon itu telah mendapat pengiktirafan rasmi daripada kerajaannya.

Menurut pengkhabar teknologi Abhishek Yadav, Galaxy S23 FE mempunyai nombor model SM-S711B/DS dan telah mendapat pengiktirafan daripada Suruhanjaya Penyiaran dan Telekomunikasi Thailand (NBTC). Pengiktirafan itu telah didaftarkan oleh Thai Samsung Electronics Co Ltd, menguatkan lagi berita tentang pelancarannya dalam masa terdekat.

Sungguh pun begitu, pengiktirafan itu tidak mendedahkan banyak spesifikasi tentang Galaxy S23 FE, selain daripada sokongan untuk rangkaiannya. Ia dikhabarkan bakal mempunyai cipset yang berlainan untuk sesetengah pasaran, iaitu cipset Snapdragon 8 Gen 1 untuk beberapa negara seperti Amerika Syarikat dan Exynos 2200 untuk negara-negara lain.

Spesifikasi lain yang dikhabarkan termasuklah RAM 12GB, storan dalaman 256GB, bateri 4,500mAh, pengecasan pantas 25W, skrin AMOLED 120Hz 6.4 inci dan tri-kamera 50MP. Kali terakhir Samsung melancarkan telefon dengan penjenamaan FE adalah untuk Samsung Galaxy S21 FE pada Januari 2022, jadi jika Galaxy S23 FE akan dilancar pada hujung tahun ini, ia pasti amat dinanti-nantikan oleh peminat Samsung.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version