Site icon TechNave BM

Samsung Galaxy S23 mungkin jadi telefon Samsung pertama dengan fungsi rakaman 8K 30fps

Samsung dijangka bakal melancarkan siri telefon pintar andalan seterusnya, Samsung Galaxy S23, pada awal tahun 2023. Dengan tahun ini yang bakal menghampiri penamatnya, semakin banyak khabar tentang siri Galaxy S23 mula disebar dalam internet.

Kini terdapat sumber mengatakan siri Galaxy S23 bakal menjadi telefon pintar Samsung pertama yang menyokong fungsi rakaman video dalam resolusi 8K (7680 × 4320 pada kadar 30 bingkai sesaat (fps). Maklumat ini diutarakan oleh pengkhabar teknologi terkenal Ice Universe.

Sebelum ini, siri Galaxy S22 juga boleh merakam video 8K namun kadar bingkainya hanya dihadkan pada 24fps. Di samping itu, fungsi rakaman 8K juga lebih digunakan untuk mengambil tangkapan layar (screenshot) berkualiti tinggi daripada video dan bukannya untuk rakaman tempoh panjang.

Memandangkan rakaman 8K mengambil ruang yang besar dalam storan, Galaxy S23 mungkin akan ditawarkan dengan storan dalaman yang besar. Pada awal tahun ini, siri Galaxy S22 merupakan telefon Samsung pertama yang ditawarkan dengan storan dalaman 1TB, jadi storan itu besar kemungkinan akan terus ditawarkan dalam siri Galaxy S23.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan siri Galaxy S23 dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version