Site icon TechNave BM

Samsung Galaxy S25 Edge dilancar dengan Snapdragon 8 Elite dan senipis 5.8mm, bermula ~RM4,763

Selepas berbulan-bulan khabar angin, Samsung Galaxy S25 Edge kini diperkenalkan secara rasmi sebagai langkah awal menyaingi iPhone 17 Air yang dijangka dilancarkan musim luruh ini. Menarik perhatian ialah reka bentuknya dengan ketebalan hanya 5.8mm dan berat 163g yang menjadikannya salah satu telefon pintar paling ringan serta ternipis dalam segmennya.

Demi mengekalkan kenipisannya, Samsung menyertakan bateri 3,900 mAh sahaja yang menyokong pengecasan berwayar 25W (tanpa pengecas dalam kotak) serta pengecasan wayarles. Telefon ini hadir dengan skrin 6.7 inci Dynamic AMOLED 2X QHD+, kadar segar semula adaptif 1–120Hz dan perlindungan Gorilla Glass Ceramic 2.

Ia dipacu oleh cip Snapdragon 8 Elite for Galaxy digandingkan dengan RAM 12GB serta pilihan storan 256GB atau 512GB. Galaxy S25 Edge menawarkan sensor utama 200MP dengan OIS dan zoom berkualiti optikal 2x, kamera ultra lebar 12MP dengan autofokus untuk makro serta kamera swafoto 12MP.

Ciri lain termasuk beroperasi menggunakan One UI 7 berdasarkan Android 15, kalis air serta habuk IP68 dan menggunakan bingkai titanium. Ia hadir dalam tiga warna iaitu Titanium Silver, Titanium Jetblack dan Titanium Icyblue. Dimensi penuh peranti ini adalah 158.2 x 75.6 x 5.8.

Di Amerika Syarikat, Samsung Galaxy S25 Edge dijual bermula pada harga $1100 (~RM4,763) untuk varian 12/256GB manakala varian 12/512GB pula berharga $1220 (~RM5,283). Setakat ini, tiada pengesahan rasmi sama ada peranti ini akan dilancarkan di pasaran Malaysia. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Samsung

Exit mobile version