Samsung Malaysia hari ini memperluas barisan tablet mampu milik dengan pelancaran Galaxy Tab A11 yang direka untuk keseimbangan antara produktiviti dan hiburan. Ia dilengkapi paparan 90Hz bersama sistem pembesar suara berkembar yang menyokong Dolby Atmos.
Galaxy Tab A11 menggunakan pemproses terkini dengan pilihan RAM sehingga 8GB dan storan dalaman 128GB yang boleh dikembangkan sehingga 2TB melalui kad microSD. Baterinya pula hadir dengan kapasiti 5,100mAh.
Peranti ini menjalankan One UI 7 berasaskan Android dan disertakan sokongan AI Gemini serta ciri seperti Math Solver dalam Samsung Notes bagi membantu pengguna menyelesaikan tugasan pembelajaran dengan lebih mudah. Keselamatan turut diperkukuh melalui Samsung Knox manakala pengguna dijanjikan sehingga tujuh generasi kemas kini perisian.
Galaxy Tab A11 ditawarkan dalam tiga pilihan varian iaitu model LTE (8/128GB) pada harga RM699 manakala versi WiFi (8/128GB) dijual pada RM599 dan varian asas WiFi (4/64GB) ditawarkan pada RM499. Tablet ini hadir dengan pilihan warna Gray dan Silver.
Ia boleh didapati di kedai Samsung Experience Store, laman rasmi Samsung Malaysia dan pengedar sah seluruh negara. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

