Site icon TechNave BM

Samsung Galaxy Tab Active 4 Pro dilancar: Tablet tahan lasak untuk kerja-kerja lapangan berharga RM3,299

Pada hari ini, Samsung Malaysia melancarkan tablet tahan lasak Samsung Galaxy Tab Active4 Pro yang menepati kriteria khusus untuk para pekerja lapangan dalam pelbagai industri. Di samping mempunyai rekaan yang tahan lasak, ia juga dilengkapi spesifikasi canggih untuk prestasi pantas di lapangan.

Galaxy Tab Active4 Pro mempunyai rekaan yang mendapat pengiktirafan tentera MIL-STD-810H supaya ia boleh digunakan dalam pelbagai situasi altitud, suhu, getaran, habuk, kelembapan dan banyak lagi. Peranti ini dan stilus S Pen turut mempunyai rating kalis air IP68 supaya ia tidak dijejaskan oleh titisan air atau habuk.

Ia direka untuk menahan impak jatuh setinggi 1.2m (dengan sarung perlindungan) atau 1.0m (tanpa sarung perlindungan).

Tablet ini boleh dihubungkan dengan rangkaian 5G dan WiFi 6 untuk kelajuan internet yang laju, tindak balas (latency) rendah dan kapasiti pemindahan data yang lebih tinggi, terutamanya untuk tugasan kritikal di lapangan.

Baterinya berkapasiti 7,600mAh dan boleh ditukar sendiri oleh pengguna supaya ia boleh digunakan dalam tempoh masa yang lama. Ia boleh dicas menggunakan kabel USB-C atau POGO Cradle. Samsung turut menawarkan fungsi No Battery Mode yang membenarkan tablet untuk digunakan sambil mengecas, tanpa menjadi terlalu panas atau menjejaskan hayat bateri.

Ia mempunyai skrin berukuran 10.1 inci, dengan ketebalan 10.2mm dan berat 674 gram sahaja. Apabila mod Touch Sensitivity diaktifkan, skrinnya masih boleh digunakan walaupun sewaktu sarung tangan dipakai.

Aplikasi Samsung DeX turut disediakan, di mana tablet ini boleh dihubungkan dengan monitor atau TV untuk digunakan seperti komputer atau mengakses saiz skrin yang lebih besar.

Tablet ini akan menerima kemas kini keselamatan (security updates) selama lima tahun bagi mengekalkan tahap keselamatan yang tinggi dan menjamin keterusan perniagaan.

Samsung Galaxy Tab Active4 Pro akan dijual di Malaysia pada harga RM3,299 dan boleh dibeli daripada pengedar sah Samsung iaitu M-Link System (M) Sdn Bhd, SNS Network (M) Sdn Bhd dan Tri-e Marketing Sdn Bhd.

Layari laman web Samsung Malaysia untuk maklumat lanjut. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version