Site icon TechNave BM

Samsung Galaxy Tab S7 FE 5G dilancar: Tablet Snapdragon 750G, skrin 12.4 inci bermula ~RM3,286

Samsung telah melancarkan tablet terbaru dalam siri Galaxy Tab S7 iaitu Samsung Galaxy Tab S7 Fan Edition (FE) 5G yang menampilkan spesifikasi agak rendah dalam seluruh siri tablet tersebut. Ia dilengkapi skrin 12.4 inci dengan resolusi 2560×1600 namun dengan panel LCD sahaja, bukan AMOLED.

Daripada segi spesifikasi dalaman, ia dilengkapi cipset Snapdragon 750G, RAM 4GB, storan 64GB yang boleh dibesarkan dengan kad microSD, bateri 10,090mAh dan pengecasan pantas 45W. Samsung mengatakan bateri tersebut mampu memainkan video selama 13 jam daripada pengecasan penuh, namun pengecas akan dijual secara berasingan dan tidak disertakan dalam kotak tablet ini.

Boleh digunakan seperti komputer riba jika digabungkan dengan papan kekunci luaran

Tablet ini datang bersama stilus S Pen untuk memudahkan kerja-kerja penulisan pada skrinnya serta fungsi Samsung DeX untuk pengalaman penggunaan seperti dalam komputer. Daripada segi kamera, ia mempunyai kamera utama 8MP dan kamera swafoto 5MP.

Galaxy Tab S7 FE 5G telah dilancar di Jerman pada harga EUR649 (~RM3,286) dan setakat ini masih tiada maklumat mengenai keberadaannya di Malaysia. Jika anda memerlukan tablet Samsung sekarang, anda boleh mendapatkan Samsung Galaxy Tab S7 Wi-Fi yang dijual pada harga RM3,299.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan tablet ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: WinFuture.de

Exit mobile version