Site icon TechNave BM

Samsung Galaxy Unpacked seterusnya pada 11 Ogos, mungkin lancarkan Galaxy Z Fold3 dan Z Flip3

Media Korea Selatan melaporkan bahawa Samsung bakal menganjurkan acara pelancaran Galaxy Unpackedseterusnya pada hari Rabu, 11 Ogos jam 10:00 pagi EST (10:00 malam waktu Malaysia). Dalam acara tersebut, mereka dijangka akan melancarkan telefon lipat Samsung Galaxy Z Fold3, Samsung Galaxy Z Flip3, fon telinga wayarles Samsung Galaxy Buds2 dan jam tangan pintar Samsung Galaxy Watch4.

Sebelum ini, khabar angin tentang Galaxy Z Fold3 telah dilaporkan secara meluas di mana ia dijangka akan menggantikan ketiadaan telefon andalan Samsung Galaxy Note pada tahun ini. Ia dikhabarkan akan dilengkapi skrin utama Super AMOLED berukuran 7.55 inci dan skrin luaran 6.23 inci, di samping spesifikasi tercanggih seperti cipset Snapdragon 888, RAM 12GB dan sokongan S Pen.

Untuk Galaxy Z Flip3 pula, ia dijangka akan mempunyai skrin utama Super AMOLED berukuran 6.7 inci dan skrin luaran 1.9 inci. Selain itu, ia akan dilengkapi cipset Snapdragon 888, RAM 8GB, bateri 3,300mAh, pengecasan pantas 25W dan pengecasan wayarles 15W. Rupa bentuknya sudah pun tertiris, di mana ia mempunyai skrin luaran yang lebih besar berbanding model sebelum ini.

Jam tangan pintar Samsung Galaxy Watch4 pula dijangka bakal menjadi jam tangan pertama dilengkapi sistem operasi One UI Watch yang diumum dalam Mobile World Congress 2021 pada minggu lepas. Samsung turut akan melancarkan fon telinga wayarles Galaxy Buds 2 yang dilengkapi pembatalan hingar aktif yang lebih baik berbanding model tahun lepas.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan mana-mana peranti di atas dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: DDaily Korea

Exit mobile version