Site icon TechNave BM

Samsung Galaxy Watch akan perkenalkan fungsi pengesanan untuk penyakit gangguan tidur

Samsung Electronics mengumumkan bahawa mereka akan memperkenalkan fungsi pengesanan penyakit gangguan tidur (sleep apnea) dalam siri jam tangan pintar Samsung Galaxy Watch bermula suku ketiga tahun ini.

Fungsi pengesanan apnea tidur ini membenarkan pengguna berumura 22 tahun ke atas untuk mengenal pasti tanda-tanda awal terhadap tidur yang diganggu (obstructive sleep apnea, OSA) yang sering kali tidak dikesan serta tidak dirawat oleh mereka yang terjejas.

OSA boleh menyebabkan pernafasan seseorang untuk berkurang atau berhenti seketika, menyebabkan aliran oksigen yang rendah, kualiti tidur yang teruk dan lebih cepat penat pada waktu siang. Selain itu, OSA boleh meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular seperti darah tinggi (hypertension), penyakit arteri koronari, kegagalan jantung, ketidaktentuan degupan jantung (cardiac arrhythmia) dan angin ahmar (stroke).

Mesej yang dipaparkan pada skrin Galaxy Watch tentang pengesanan apnea tidur

Samsung berharap fungsi pengesanan apnea tidur ini boleh membantu pengguna Galaxy Watch mengenal pasti OSA dengan lebih awal dan mendapatkan rawatan sewajarnya. Apabila ia ditawarkan kelak, pengguna berumur 22 tahun ke atas boleh mencuba fungsi tersebut dengan menjejak tidur selama lebih daripada empat jam sebanyak dua kali dalam tempoh 10 hari.

Fungsi tersebut telah mendapat pengiktirafan daripada Pentadbiran Makanan dan Perubatan (FDA) Amerika Syarikat serta Kementerian Makanan dan Keselamatan Perubatan (MFDS) Korea Selatan.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan fungsi ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Samsung

Exit mobile version