Site icon TechNave BM

Samsung Galaxy Z Fold3 muncul di penanda aras Geekbench, cipset dan RAM ditunjukkan

Samsung dikhabarkan akan mengadakan acara pelancaran mega Unpacked pada bulan Ogos ini dimana mereka akan melancarkan telefon lipat dan jam tangan pintarnya. Ini termasuklah Galaxy Z Fold3 yang dijangka hadir dengan beberapa penambahbaikan berbanding generasi lalu. Terbaru, peranti ini telah dikesan di Geekbench menunjukkan cipset dan RAM yang digunakan.

Melihat kepada penyenaraian tersebut, sebuah peranti Samsung dengan nombor model SM-F926U (merujuk kepada Galaxy Z Fold3) telah dikesan dan ianya dilengkapi cipset Qualcomm dengan kod nama ‘lahaina’. Cipset ‘lahaina’ ini hadir dengan teras utama CPU pada 2.84GHz, empat teras CPU pada 1.8 GHz dan tiga teras CPU pada 2.42 GHz.

Butiran ini mengesahkan bahawa peranti ini menggunakan cipset Snapdragon 888. Penyenaraian tersebut juga menunjukkan bahawa ia akan dilengkapi RAM 12GB dan beroperasi menggunaakn perisian Android 11. Peranti lipat ini berjaya mendapat markah setinggi 1124 untuk teras tunggal dan 3350 untuk teras pelbagai.

Untuk pasaran yang tertentu, peranti lipat ini mungkin akan menggunakan cipset Exynos 2100. (mungkin di pasaran Malaysia?).

Untuk spesifikasi lain, Samsung Galaxy Z Fold3 dikhabarkan akan menggunakan skrin 7.55 inci AMOLED dengan kadar segar semula 120Hz bersama kamera swafoto dalam skrin 16MP. Pada skrin hadapan pula adalah skrin 6.5 inci AMOLED dengan kamera swafoto 10MP.

Pada bahagian belakang pula, Z Fold3 dilengkapi kamera tri dengan kamera utama 12MP. Ia mungkin hadir dengan bateri 4,400mAh yang menyokong pengecasan pantas 25W. Ia juga dikatakan akan menyokong stilus S Pen dan sensor cap jari sisi.

Adakah anda menantikan peranti lipat generasi baru dari Samsung ini? Berikan komen anda di Facebook kami dan terus kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber : Gizmochina

Exit mobile version