Peranti boleh lipat Samsung Galaxy generasi seterusnya akan dikeluarkan pada 10 Julai dan kini, salah satu telefon pintar dalam barisan tersebut telah muncul dalam GeekBench. Samsung Galaxy Z Fold6 muncul di Geekbench dan mendedahkan maklumat lanjut tentang spesifikasi peranti itu.
Menurut sumber, Samsung Galaxy Z Fold6 pada penyenaraian Geekbench menunjukkan bahawa peranti boleh lipat itu menggunakan nombor model SM-F956U. Tambahan, struktur teras CPU mendedahkan bahawa peranti itu akan menjalankan cipset Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3 seperti yang dijangkakan.
Skor yang diperoleh melalui teras tunggal ialah 1964 manakala pada berbilang teras mendapat skor 6619. Skor yang diperoleh agak rendah berbanding telefon pintar dengan cipset yang sama dan mungkin disebabkan oleh perisian pra-pengeluaran. Penyenaraian menunjukkan bahawa peranti itu berjalan pada Android 14 mungkin melalui One UI.
Varian yang diuji pada platform penanda aras berjalan pada RAM 12GB. Apakah jangkaan anda untuk Galaxy Z Fold6? Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Geekbench

