Site icon TechNave BM

Samsung Galaxy Z Fold7 dilancar di Malaysia: SD 8 Elite for Galaxy, skrin QXGA+ Dynamic AMOLED 2X 8″ bermula RM7,799

Pada hari ini, Samsung Malaysia secara rasmi melancarkan telefon lipat andalan terbaharunya iaitu Samsung Galaxy Z Fold7 yang hadir dengan pelbagai peningkatan ketara khususnya dalam rekaan, paparan, prestasi dan keupayaan AI. Samsung Galaxy Z Fold7 menampilkan rekaan paling nipis dan paling ringan dalam siri Galaxy Z Fold setakat ini, namun tetap mengekalkan kekuatan prestasi ultra dan ketahanan lasak.

Daripada segi fizikal, Galaxy Z Fold7 kini mempunyai berat hanya 215g dan ketebalan 8.9mm apabila dilipat. Engsel yang digunakan pula adalah Armor FlexHinge dengan struktur rel berbilang (multi-rail) memberikan rekaan yang lebih tahan lasak dan mengurangkan kesan lipatan yang ketara.

Tarikan utama pastinya terletak pada skrin besar apabila dibuka dengan paparan utama 8.0 inci QXGA+ Dynamic AMOLED 2X dengan sokongan kadar segar semula adaptif 1 hingga 120Hz dan kecerahan maksimum sehingga 2,600 nits. Di bahagian luar, terdapat skrin 6.5 inci FHD+ beraspek nisbah baharu 21:9 untuk pengalaman penggunaan yang lebih luas dan selesa.

Untuk ketahanan, Galaxy Z Fold7 menggunakan Corning Gorilla Glass Ceramic 2 pada skrin hadapan, Gorilla Glass Victus 2 di belakang dan bingkai Armor Aluminum yang telah diperkuat. Skrin utamanya turut dikuatkan dengan lapisan Titanium dan kaca Ultra-Thin Glass (UTG) yang kini 50% lebih tebal. Peranti ini juga dilengkapi rating kalis air IP48.

Samsung turut memperkenalkan keupayaan AI yang lebih meluas melalui One UI 8 berasaskan Android 16 termasuk ciri seperti Gemini Live, Circle to Search, Photo Assist, Generative Edit dan Suggest Erases. Semua fungsi ini direka untuk berfungsi lebih baik pada skrin lipat besar. Galaxy Z Fold7 dikuasakan oleh cip Snapdragon 8 Elite for Galaxy yang ditawarkan dalam pilihan RAM 12GB dan storan 256GB, 512GB serta 1TB.

Untuk fotografi, Galaxy Z Fold7 dilengkapi sistem tiga kamera belakang yang terdiri daripada kamera utama 200MP dengan OIS dan autofokus, ultra-lebar 12MP dan telefoto 10MP dengan 3x zoom optikal dan 30x Space Zoom. Kamera swafoto pula hadir dalam dua lokasi iaitu 10MP di skrin utama dan 10MP di skrin luar.

Galaxy Z Fold7 mengekalkan kapasiti bateri 4,400mAh, menyokong pengecasan pantas 25W, Fast Wireless Charging 2.0 serta Wireless PowerShare. Sensor imbasan cap jari diletakkan di sisi seperti biasa dengan sokongan penuh untuk 5G, Wi-Fi 7 dan Bluetooth 5.4.

Spesifikasi Samsung Galaxy Z Fold7:

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan Samsung Galaxy Z Fold7 ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version