Samsung secara rasmi melancarkan siri telefon pintar boleh lipat Galaxy Z Fold8 Ultra, Galaxy Z Fold8 dan Galaxy Z Flip8 bagi pasaran Malaysia. Siri baharu membawakan peningkatan kejuruteraan pada ketiga-dua reka bentuk peranti. Model Fold8 dan Fold8 Ultra menggunakan teknologi Flex Titanium yang menggabungkan filem aloi titanium dengan plat titanium dipertingkat.
Struktur ini berfungsi menyerap impak dan mengurangkan kejelasan kesan lipatan skrin dari semasa ke semasa. Ketiga-dua peranti menjalankan sistem operasi One UI 9 berasaskan Android 17. Terdapat juga alatan agen AI seperti Now Brief, Now Nudge dan Gemini Intelligence yang direka bagi mengendalikan tugasan pelbagai aplikasi dalam langkah yang lebih ringkas.
Model tertinggi Galaxy Z Fold8 Ultra dikuasakan oleh cip Qualcomm Snapdragon 8 Elite Gen 5 Mobile Platform for Galaxy. Ia dilengkapi skrin utama 8.0 inci QXGA+ Dynamic AMOLED 2X dan skrin luar 6.5 inci FHD+. Sistem kameranya merangkumi kamera utama 200MP dengan 200MP HDR, kamera sudut lebar 50MP dengan keupayaan makro dan kamera telefoto 10MP.
Galaxy Z Fold8 Ultra turut menyokong rakaman video 8K melalui kodek APV serta kawalan warna Cine LUT. Galaxy Z Fold8 pula menggunakan cip pemproses yang sama serta menampilkan nisbah aspek skrin baharu iaitu skrin luar 5.5 inci (10:16) dan skrin utama 7.6 inci (4:3). Peranti menyokong tetapan dua kamera 50MP berserta ciri Dual Recording dan penjejakan subjek automatik My FanCam.
Untuk Galaxy Z Flip8 pula, ia dikuasakan oleh cip Samsung Exynos 2600. Peranti berukuran 6.1mm nipis apabila dibuka dan mempunyai skrin cover Super AMOLED FlexWindow bersaiz 4.1 inci. Ia dilengkapi kamera utama 50MP dengan ProVisual Engine serta alatan pencipta kandungan seperti Camcorder Grip dengan Zoom Rocker, Super Steady dengan Horizontal Lock dan FlipShot.
Galaxy Z Flip8 juga menyokong keserasian Quick Share AirDrop dan pemindahan Smart Switch berasaskan kod QR. Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra ditawarkan pada harga RM8,099 bagi versi 256GB, RM8,899 bagi 512GB dan RM10,499 bagi 1TB. Galaxy Z Fold8 dijual pada harga RM7,299 (256GB), RM8,099 (512GB) dan RM9,699 (1TB).
Manakala Galaxy Z Flip8 berharga RM5,399 (256GB) dan RM6,199 (512GB). Pembelian dalam tempoh tempahan layak menerima percubaan percuma 6 bulan Google AI Pro bernilai RM97.99 sebulan, rebat tukar beli sehingga RM800, rebat bank segera sehingga RM500, baucar Samsung Reservation+ RM250 dan penggalak mata ganjaran Samsung Rewards sehingga RM400.
Pelanggan yang melanggan pelan bulanan Samsung Care+ di portal rasmi Samsung juga akan menerima perlindungan percuma bagi 3 bulan pertama. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan salah satu peranti yang ditawarkan dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

