Site icon TechNave BM

Samsung iklankan Galaxy Z Flip sebelum pengumuman rasmi

Pada kadar ini, nampaknya Samsung seolah-olah sengaja ‘membocorkan’ maklumat tentang telefon pintar lipatnya yang sepatutnya diumumkan dalam masa dua hari lagi. Terbaru, syarikat itu memberi sedikit pratonton tentang Galaxy Z Flip sewaktu penyiaran Majlis Anugerah Oscar.

Iklan itu memaparkan peranti tersebut dilipat 90 darjah untuk panggilan video. Tetapi yang mungkin lebih menarik adalah satu ayat yang ditaip kecil di bahagian bawah skrin di mana ia menyatakan, “anda mungkin akan mendapati terdapat kesan kedutan kecil di bahagian tengah skrin, ini adalah ciri biasa skrin tersebut.” Nampaknya kesan lipatan yang terdapat dalam Galaxy Fold akan wujud di dalam Z Flip.

Selain itu, iklan itu menunjukkan peranti itu dalam dua warna iaitu ungu dan hitam. Kita juga boleh melihat bahagian luaran telefon itu yang membolehkan pengguna untuk menjawab atau menolak sebarang panggilan.

Samsung memang bukan syarikat yang asing dalam mengiklankan produknya dalam Majlis Anugerah Oscar. Apa lagi yang anda ingin lihat daripada Galaxy Z Flip? Kongsi di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk liputan menyeluruh berkenaan telefon ini dan lain-lain peranti yang diumumkan dalam acara Galaxy Unpacked.

Sumber: The Verge

Exit mobile version