Samsung secara rasmi mengumumkan peningkatan polisi sokongan perisian bagi jam tangan pintar terbaharunya iaitu Galaxy Watch9 dan Galaxy Watch Ultra2 sewaktu acara Unpacked. Kedua-dua model jam tangan pintar ini dijamin menerima lima kali naik taraf sistem operasi utama serta lima tahun tambalan keselamatan secara berkala.
Menerusi polisi baharu, peranti yang dilancarkan pada tahun 2026 ini akan terus menerima kemas kini sistem operasi terkini sehingga tahun 2031. Sebagai perbandingan, model sebelum ini bermula daripada Galaxy Watch 4 sehingga siri Galaxy Watch 8 hanya ditawarkan dengan empat kali naik taraf OS walaupun turut menerima lima tahun kemas kini keselamatan.
Buat masa ini, Samsung belum mengesahkan sama ada polisi lima kali naik taraf OS ini akan diperluaskan secara retroaktif kepada model jam tangan pintar yang lebih lama atau tidak. Galaxy Watch9 dan Galaxy Watch Ultra2 didatangkan secara terbina dengan sistem operasi Wear OS 7 serta antaramuka One UI 9 Watch, disamping pelbagai ciri kesihatan dan AI baharu.
Tempahan untuk kedua-dua peranti ini telah dibuka sejak 22 Julai dengan harga jualan bagi Galaxy Watch 9 bermula pada RM1,599 manakala Galaxy Watch Ultra2 dalam varian 47mm LTE dijual pada harga RM3,399. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: SamMobile

