Samsung dan OpenAI kini mengembangkan kerjasama mereka ke peringkat baharu apabila Samsung dilaporkan akan menyediakan ChatGPT Enterprise dan Codex kepada semua pekerja di bawah Samsung Electronics. Sebelum ini, hubungan kedua-dua syarikat lebih tertumpu kepada rantaian bekalan semikonduktor dan pembangunan cip AI.
Namun kali ini, fokus diberikan kepada penggunaan AI secara dalaman merentasi operasi syarikat. Samsung dilihat mahu mempercepatkan penggunaan AI dalam pelbagai bahagian termasuk pembangunan perisian, pemasaran, pembangunan produk, tugasan teknikal dan bukan teknikal, malah turut melibatkan proses pembuatan.
Walaupun Codex pada asalnya dibangunkan sebagai alat bantuan pengaturcaraan, ia kini digunakan untuk lebih banyak tugasan seperti menulis, menyemak dan membaiki kod, selain membantu menyusun aliran kerja serta meningkatkan produktiviti pasukan. Menurut OpenAI, Codex kini digunakan oleh lebih 5 juta pengguna di seluruh dunia dan merekodkan pertumbuhan hampir 800% sejak 1 Februari tahun ini.
Langkah Samsung ini juga bukan sesuatu yang asing dalam industri Korea Selatan apabila beberapa organisasi besar sudah mula mengintegrasikan teknologi OpenAI. Antaranya termasuk LG Electronics manakala Seoul National University sebelum ini turut menyediakan ChatGPT Edu kepada sekitar 47,000 pelajar dan kakitangan.
Menarik untuk dilihat sama ada penggunaan AI secara dalaman ini akan mempercepat pembangunan produk Samsung seterusnya terutama ketika syarikat semakin agresif mempromosikan ekosistem Galaxy AI. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: OpenAI

