Samsung secara rasmi mengumumkan kerjasama strategik bersama Amazon Music bagi membawa aplikasi berkenaan ke dalam ekosistem Galaxy. Melalui langkah ini, aplikasi Amazon Music akan dipra-pasang pada jutaan peranti mudah alih dan tablet Samsung terpilih di seluruh dunia.
Selain itu, ia juga kini tersedia untuk dimuat turun oleh semua pengguna peranti Galaxy melalui Galaxy Store. Kerjasama ini membolehkan pengguna mengakses lebih 100 juta lagu, podcast, senarai main pilihan serta kandungan audio lain.
Bagi pengguna di wilayah terpilih, langganan Amazon Music Unlimited turut menyertakan akses kepada muzik berkualiti HD, Ultra HD, audio spatial dan satu buku audio daripada Audible setiap bulan. Bagi pelanggan baharu Amazon Music Unlimited yang memuat turun aplikasi melalui Galaxy Store atau menggunakan peranti yang mempunyai aplikasi pra-pasang, Samsung dan Amazon Music menawarkan langganan percuma selama tiga bulan.
Tawaran ini sah untuk tempoh masa terhad dan akan bermula sebaik sahaja pengguna mendaftar perkhidmatan tersebut. Selepas tempoh percubaan tiga bulan tamat, langganan akan diperbaharui secara automatik pada kadar harga semasa kecuali pengguna membatalkan langganan sebelum tarikh pembaharuan.
Tawaran ini sah untuk pasaran Amerika Syarikat dan pasaran antarabangsa terpilih dalam tempoh 12 bulan dari tarikh pelancaran. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Samsung

