Site icon TechNave BM

Samsung kini sediakan kemas kini Android untuk siri Galaxy A selama 3 tahun

Samsung bakal menyediakan kemas kini sistem operasi Android untuk siri telefon pintar kelas pertengahan, Galaxy A, selama tiga tahun dan kemas kini keselamatan (security updates) selama empat tahun. Sebelum ini, telefon Galaxy A hanya layak menerima kemas kini Android selama dua tahun.

Samsung telah memulakan inisiatif tersebut untuk telefon pertengahan yang baru dilancar, Galaxy A52 dan Galaxy A72. Buat Galaxy A02s, A12, A32 dan A42 pula, ia bakal menerima kemas kini Android selama dua tahun sahaja dan kemas kini keselamatan selama empat tahun.

Samsung memperkenalkan tempoh kemas kini Android selama tiga tahun sejak tahun lepas untuk telefon andalan Galaxy S, Galaxy Note, Galaxy Z Flip dan Galaxy Z Fold. Kini nampaknya telefon kelas pertengahan juga bakal menerima faedah dan jangka masa yang sama.

Jika anda berminat untuk membeli Galaxy A52 (RM1,499) atau Galaxy A72 (RM1,899), anda boleh berbuat demikian dengan promosi khas untuk pembaca TechNave di mana anda berpeluang memenangi hadiah menarik untuk pembelian sebelum 15 April.

Beritahu kami di Facebook jika anda akan membeli Galaxy A52 atau Galaxy A72 dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version