Site icon TechNave BM

Samsung lancar program beta One UI 9 untuk siri Galaxy S26

Samsung telah mula melancarkan program beta untuk One UI 9 yang hadir bersama pelbagai penambahbaikan melibatkan kreativiti, aksesibiliti dan keselamatan pada peranti Galaxy. Antara perubahan utama ialah kemas kini pada Samsung Notes yang kini menyokong elemen kreatif baharu seperti decorative tapes dan lebih banyak pilihan gaya pen.

Aplikasi Contacts pula kini menawarkan akses terus ke Creative Studio untuk menghasilkan kad profil tanpa perlu bertukar aplikasi. Quick Panel turut menerima rekaan lebih fleksibel dengan kawalan berasingan untuk kecerahan, audio dan pemain media selain pilihan saiz baharu mengikut keselesaan pengguna.

Untuk aksesibiliti, One UI 9 memperkenalkan kawalan kelajuan Mouse Key yang lebih lancar, pakej TalkBack gabungan Samsung dan Google serta fungsi Text Spotlight yang memaparkan teks terpilih dalam paparan lebih besar bagi memudahkan bacaan.

Samsung juga meningkatkan ciri keselamatan apabila sistem kini mampu mengesan aplikasi berisiko tinggi dengan memberi amaran kepada pengguna, menyekat pemasangan atau pelancaran aplikasi tersebut serta mencadangkan pemadaman melalui kemas kini polisi keselamatan.

Program beta One UI 9 akan tersedia untuk pengguna siri Samsung Galaxy S26 di beberapa pasaran terpilih bermula minggu ini menerusi aplikasi Samsung Members. Bagi pengguna di Malaysia, kita perlu menunggu pengumuman rasmi selanjutnya daripada Samsung mengenai ketersediaannya.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat untuk mencubanya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Samsung

Exit mobile version