Site icon TechNave BM

Samsung lancarkan ISOCELL HM3: Sensor kamera 108MP untuk telefon pintar

Samsung Electronics telah melancarkan sensor baru untuk kamera telefon pintar iaitu ISOCELL HM3 yang menampilkan jumlah piksel setinggi 108MP. Sensor tersebut menampilkan saiz yang lebih besar berbanding generasi sebelumnya iaitu 1/1.33 inci dengan saiz piksel 0.8 mikrometer (μm).

Sensor tersebut menampilkan autofokus phase-detect (PDAF) yang lebih pantas dan tepat dengan fungsi Super PD untuk ketepatan yang lebih tinggi sebanyak 50%. Daripada segi penggunaan tenaga, Samsung mengatakan ia lebih cekap sebanyak 6.5% berbanding generasi sebelumnya.

Untuk penggambaran malap pula, ISOCELL HM3 mempunyai ciri Smart ISO Pro di mana sensor itu akan mengambil gambar dalam ISO rendah dan ISO tinggi kemudian menggabungkannya dalam kedalaman warna (colour depth) 12-bit untuk gambar akhir yang lebih jelas. Samsung mengatakan sensor ini lebih sensitif kepada cahaya sebanyak 50% untuk prestasi penggambaran malap yang lebih baik.

Sensor ini juga boleh menggabungkan piksel (pixel binning) sehingga sembilan piksel untuk menangkap lebih banyak cahaya dalam suasana malap, di mana penggabungan tersebut boleh membuatkan sensor ini bertindak seperti sensor 12MP.

ISOCELL HM3 kini sudah pun dihasilkan secara besar-besaran. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon yang dilengkapi sensor kamera Samsung ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version