Site icon TechNave BM

Samsung lancarkan One UI 4, Galaxy Z Flip3 dan Watch4 dengan warna boleh diubah suai

Pada hari ini, Samsung telah menganjurkan acara Galaxy Unpacked Part 2 di mana mereka melancarkan sistem operasi One UI 4 serta pilihan warna baharu untuk telefon lipat Samsung Galaxy Z Flip3 dan jam tangan pintar Samsung Galaxy Watch4.

One UI 4 menampilkan beberapa fungsi baharu seperti ubahan corak warna (colour palette), widget baharu, mod Extra Dim untuk menggelapkan skrin sewaktu penggunaan dalam suasana malap dan Emoji Pair yang membenarkan pengguna untuk mengirim gabungan emoji dalam aplikasi permesejan.

Selain itu, Samsung turut memperkenalkan Samsung Galaxy Z Flip3 Bespoke Edition, di mana pengguna boleh menghiasi telefon lipat itu dengan gabungan antara lima warna iaitu biru, merah jambu, kuning, putih dan hitam. Perlu diingati bahawa modul kameranya masih kekal hitam untuk sebarang pilihan warna.

Samsung mengatakan pelanggan boleh mencipta sebanyak 49 gabungan warna daripada lima pilihan warna tersebut. Samsung juga akan memperkenalkan kemudahan untuk mengubah warna itu jika pelanggan ingin menukarnya selepas membeli.

Kemudahan Bespoke Edition ini turut ditawarkan dalam jam tangan pintar Galaxy Watch4 dan Galaxy Watch4 Classic. Di samping itu, Samsung turut memperkenalkan edisi khas untuk Galaxy Watch4 dan fon telinga wayarles Galaxy Buds2 yang dibina bersama label fesyen dari Perancis, Maison Kitsune.

Setakat ini masih tiada maklumat tentang telefon Bespoke Edition ini di Malaysia. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version