Site icon TechNave BM

Samsung lancarkan program untuk mudahkan pelanggan baiki telefon Galaxy mereka sendiri

Samsung Electronics America telah melancarkan Self-Repair Program iaitu sebuah inisiatif yang membenarkan para pelanggan untuk membaiki sendiri peranti-peranti Galaxy mereka. Program ini akan dimulakan untuk siri telefon pintar Samsung Galaxy S20 dan Galaxy S21 serta tablet Galaxy Tab S7+.

Buat masa ini, pembaikian yang boleh dilakukan oleh pelanggan adalah penukaran skrin telefon, kaca belakang (back glass) serta port pengecasan. Samsung memperkenalkan program ini bagi memanjangkan hayat setiap peranti Galaxy, manakala komponen yang rosak boleh dihantar kepada Samsung untuk pengitaran semula.

Samsung berkolaborasi dengan perkhidmatan pembaikian popular iFixit bagi menyediakan semua alatan yang diperlukan untuk membaiki peranti Samsung Galaxy. Ia akan disediakan pada harga yang sama dengan harga yang dicaj jika peranti tersebut dibaiki oleh Samsung.

Pelanggan akan menerima panduan penuh untuk membaiki telefon mereka, termasuk langkah-langkah terperinci serta gambar-gambar untuk memudahkan pembaikian. Mereka juga boleh menyertai perbincangan dalam forum iFixit untuk sebarang pertanyaan.

Buat masa ini, Self-Repair program hanya disediakan di Amerika Syarikat. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Samsung

Exit mobile version