Site icon TechNave BM

Samsung lancarkan sensor kamera ISOCELL HP3 200MP dengan saiz piksel terkecil di dunia

Samsung memperkenalkan sensor kamera terbaharu untuk telefon pintar iaitu 200MP ISOCELL HP3, di mana saiz pikselnya yang berukuran 0.56 mikrometer (μm) adalah yang terkecil dalam industri.

Dengan saiz piksel yang 12 peratus lebih kecil berbanding sensor sebelumnya, sensor ISOCELL HP3 mempunyai 200 juta piksel dengan ukuran 1/1.4 inci dan membenarkan saiz modul kamera dalam telefon untuk dikecilkan sebanyak 20 peratus. Ini juga membuatkan saiz keseluruhan telefon boleh dibuat dengan lebih nipis.

Daripada segi fungsi, sensor ini mempunyai sistem autofokus Super QPD yang bermaksud semua piksel di dalamnya mempunyai kebolehan autofokus. Ia juga boleh menjejak perbezaan fasa (phase differences) untuk sistem autofokus yang lebih pantas.

Untuk penggambaran pada waktu malam, sensor ini mempunyai teknologi Tetra2pixel yang boleh menggabungkan empat piksel kepada satu untuk meningkatkan tangkapan cahaya. Dengan teknologi ini, sensor 200MP 0.56μm boleh ditukarkan kpeada 50MP 1.12μm atau jika 16 piksel digabungkan, ia akan menjadi sensor 12.5MP 2.24μm.

Sensor ini juga mempunyai fungsi Smart-ISO untuk meluaskan jurang dinamik (dynamic range) dan jurang warna kepada empat juta warna (14-bit colour depth). Untuk rakaman video, sensor ini boleh merakam resolusi 8K pada kadar 30 fps atau 4K pada 120fps.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat untuk memiliki telefon dengan sensor ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version